[1 HARI 1 AYAT – KUMPULAN HADIS] CINTA DUNIA, TAKUT MATI
Dari Tsauban, ia berkata bahawa Rasulullah saw bersabda, “Hampir saja para umat (yang kafir dan sesat, pen) mengerumuni kalian dari berbagai penjuru, sebagaimana mereka berkumpul menghadapi makanan dalam piring”. Kemudian seseorang bertanya,”Katakanlah wahai Rasulullah, apakah kami pada saat itu sedikit?” Rasulullah berkata,”Bahkan kalian pada saat itu banyak. Akan tetapi kalian bagai sampah yang dibawa oleh air hujan. Allah akan menghilangkan rasa takut pada hati musuh kalian dan akan menimpakan dalam hati kalian ’Wahn’. Kemudian seseorang bertanya,”Apa itu ’wahn’?” Rasulullah berkata,”Cinta dunia dan takut mati.”
(HR. Abu Daud no. 4297 dan Ahmad 5: 278, shahih kata Syaikh Al Albani. Lihat penjelasan hadis ini dalam ‘Aunul Ma’bud).
———————
Hadis ini mengajarkan kita untuk sedar tentang bencana yang sedang menimpa ummah pada masa kini. Tepatnya, situasi ini berlarutan sejak runtuhnya institusi kekuasaan Islam, khilafah. Tatkala kita menjadi ummah yang banyak jumlahnya, namun amat menyedihkan bila lemah kualitinya. Ummah hari ini umpama buih di lautan, yang tidak memiliki manfaat, atau berpengaruh terutamanya dari segi kekuasaan sebagaimana umat terdahulu. Umat Islam terus menerus menjadi sasaran bagi para musuh yang tidak lagi merasa takut dan segan untuk menyerang serta merampas hak-hak mereka. Lihat saja situasi yang sedang menimpa saudara kita di Palestin, Syria, Rohingya dan lain-lain. Kita hanya mampu mengalirkan air mata, berdoa dan memberikan solusi, namun tak mampu menghentikan kezaliman yang sedang menimpa mereka secara nyata. Malah, dengan ramainya jumlah penguasa Muslim dari negeri-negeri yang terpecah hari ini, juga tidak bermakna, kerana tiada satu pun berusaha membela nasib saudara-suadara seakidah kita sesuai dengan aturan syariat. Sebaliknya mereka hanya mengharapkan badan-badan antarabangsa yang diurus oleh para penguasa kufur. Mengapa keadaan ini berlaku, padahal jumlah sang pemimpin dan ummah ini ramai? Ini kerana, ramainya yang terkena penyakit Al-Wahn sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas, iaitu penyakit yang menyerang hati dan jiwa manusia menjadikan mereka lebih mencintai dunia berbanding akhirat, dan lebih takut mati daripada berjuang di jalan Allah. Mereka lebih suka berpecah belah mempertahankan kedudukan dan kepentingan peribadi, berbanding bersatu menegakkan syariat Islam secara kaffah.
Justeru, amat penting bagi umat Islam untuk bangkit, tidak leka dengan kehidupan dunia, dan berusaha mengubah keadaan hari ini dengan cara yang sesuai dengan syariat Islam. Selain daripada mengubah diri sendiri dari aspek kesolehan, keimanan dan amal ibadah, kita juga hendaklah terjun ke arena politik Islam dengan berdakwah ke arah mengembalikan sistem kehidupan Islam secara kaffah. Kita juga hendaklah berpegang teguh pada Al-Quran dan Sunnah, serta menjadikan keduanya sebagai panduan dalam segala aspek kehidupan, termasuklah dalam bernegara dan memilih pemimpin. Menjadi tugas setiap muslim untuk menegakkan syariat Allah. Semoga Allah swt mengakhiri duka yang menimpa ummah ini serta memberikan kemenangan dan mengembalikan kekuasaan ke tangan umat Islam sebagaimana era kegemilangan peradaban Islam dahulu. Allahul musta’an.